...TERKINI...

ADA CAHAYA PADA FIKIR

ilham adalah cahaya yang menyuluh perjalanan

STU-PID-I-TY

A quality or state of being stupid; more often than not the result of mistaking laziness for creativity.

FIKIR SESAAT LEBIH BAIK DARIPADA IBADAH SETAHUN

Namun jangan fahami secara salah. Yang wajib tetap wajib. Sabda Nabi SAW ini fokus kepada ketinggian nilai berfikir

AQAL MEMBEZAKAN INSAN DAN HAIWAN

Yang berakal berfikir. Yang berfikir jumpa.

Corak fikir bangsa Melayu tentang politik - analisis Sarawak

Written By cyberboron on Monday, April 25, 2011 | 3:47 AM

Bila bercakap atau menulis tentang Melayu, terasa bimbang juga kalau terbawa-bawa dengan jiwa perkauman. Kalau bukan kerana sentimen perkauman pun, orang yang bercakap atau menulis tentang bangsa memang terdedah kepada risiko dituduh bersifat perkauman.

Sentimen atau emosi perkauman itu boleh jadi kerana membenci kaum lain atau terlalu mengagung-agungkan bangsa sendiri atau memperlecehkan bangsa sendiri. Kebetulannya persekitaran kita memang sarat dengan sentimen dan emosi ini.

Sebaik saja selesai pilihanraya negeri Sarawak, perbahasan tentang 'bangsa' berkumandang lagi. Dr. Mahathir menyalakan api itu dengan ulasannya bahawa DAP telah berjaya mengembangkan politik perkauman dari semenanjung ke Sarawak sehingga menang bergaya di 12 kerusi daripada 15 yang ditandingi oleh parti itu.

Benar atau tidak dakwaan bahawa politik DAP adalah politik perkauman kaum Tionghua masih boleh dibahaskan panjang lebar. Calon DAP mengalahkan calon SUPP. Secara umumnya kedua-dua parti itu adalah parti orang bangsa Tionghua walaupun DAP turut dianggotai oleh sejumlah kecil orang bangsa lain. Dengan perkataan lain, apa yang berlaku di Sarawak itu ialah parti Cina mengalahkan parti Cina.

Dakwaan perkauman ini tidak pula berlaku apabila calon PAS mengalahkan calon UMNO di semenanjung. Tidak pula dikatakan bahawa kejayaan PAS itu kerana memainkan sentimen perkauman bangsa Melayu. Begitu juga halnya apabila calon Melayu PKR mengalahkan calon Melayu UMNO.

Bila Melayu PAS/PKR mengalahkan Melayu UMNO, isunya ialah politik kebencian, politik putar belit, politik janji kosong, politik agen asing, politik peralat agama dan politik janji syurga.

Waktu BN tumbang di Pulau Pinang pada pilihanraya umum 2008 dulu, nyalaan api perkauman ini juga ditiupkan oleh UMNO sehingga kini. DAP mengetuai kerajaan baru Pakatan Rakyat Pulau Pinang. Guan Eng mengambil alih tempat Su Koon. Parti Cina DAP mengalahkan parti Cina Gerakan. Ketua Menteri Cina DAP menggantikan Ketua Menteri Cina Gerakan.

Tetapi di mana saja apabila DAP menang maka akan muncullah ugutan berbaur perkauman tak mengira sama ada yang dikalahkan itu SUPP, LDP (Sabah), MCA atau Gerakan.

Benarkah DAP memperjuangkan kepentingan perkauman bangsa Tionghua sama ada secara tersurat atau tersirat? Jika benar, apakah ianya satu kesalahan berdasarkan mana-mana undang-undang negara atau nilai sejagat? Apakah agenda perkauman DAP itu terbukti atau terlihat kelibat hasrat untuk menganiaya bangsa lain? Soalan-soalan ini perlu dibahaskan dengan disiplin ilmu dan kewarasan yang tinggi.

Kalau benar DAP memperjuangkan kepentingan dan kebajikan bangsa Tionghua, apa bezanya dengan UMNO yang juga terang-terangan mendabik dada sebagai juara memperjuangkan kepentingan dan kebajikan bangsa Melayu? Bahkan UMNO sampai ke tahap memperjuangkan atau mempertahankan hak bangsa Melayu sebagai 'tuan' negara ini. Sangat jelas pula betapa ketuanan Melayu yang dijaja ke sana sini hari ini turut membawa pelbagai mesej amaran kepada bangsa lain. Tidakkah langkah ini bersifat perkauman yang merbahaya?

Merujuk kepada pilihanraya negeri Sarawak, memang jelas bahawa kaum Tionghua menolak BN dengan gelombang besar. Oleh itu DAP menang bergaya. Namun begitu undi lain-lain kaum pun sudah mula beralih daripada BN kepada bukan BN iaitu kepada PKR dan PAS disamping SNAP dan calon bebas. Jumlah keseluruhan undi BN merosot kepada 55% berbanding 63% pada pilihanraya 2006. Ini bermakna undi keseluruhan Pakatan Rakyat bersama SNAP dan calon bebas meningkat kepada 45% berbanding 37% (2006).

Peningkatan undi keseluruhan calon 'bukan' BN ialah 8%. Hanya satu per empat daripada peningkatan itu datang daripada pengundi kaum Tionghua kerana jumlah undi mereka kepada DAP telah sedia 'tinggi' sejak pilihanraya sebelum ini. Sedikit lonjakan penambahan daripada mereka sudah cukup memberikan tambahan kemenangan kepada DAP di kawasan baru. Selain itu kejayaan DAP turut dipengaruhi oleh faktor terkumpulnya pengundi Tionghua hanya di satu perlima daripada jumlah keseluruhan kawasan DUN yang ada di Sarawak.

Tiga per empat lagi daripada peningkatan undi kepada bukan BN itu disumbangkan oleh pengundi Dayak, Iban, Orang Ulu, Bidayuh, Melayu, Melanau dan lain-lain kaum.

Pemilih berdaftar di Sarawak pada pilihanraya 2011 berjumlah 980 ribu. Hampir 700 ribu pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada 16 April. Sekitar 385 ribu pengundi memilih BN (55%) manakala 315 ribu (45%) memilih bukan BN.

Ketika pilihanraya 2006 pengundi Sarawak berjumlah lebih sedikit daripada 890 ribu. Kira-kira 600 ribu pemilih keluar mengundi. Sekitar 378 ribu (63%) pengundi memilih BN manakala 222 ribu (37%) memilih bukan BN.

Ini bermakna pada pilihanraya kali ini BN dapat tambahan 7 ribu undi berbanding tahun 2006 manakala bukan BN iaitu PR, SNAP dan Bebas dapat tambahan 93 ribu undi. Penelitian lanjut perlu dibuat untuk menentukan dengan tepat sama ada tambahan undi bukan BN itu datang daripada 90 ribu pemilih yang baru berdaftar selepas pilihanraya 2006 atau bercampur-campur di antara sumbangan pengundi baru dan peralihan pengundi asal.

Ada 10 rumusan awal yang boleh dinyatakan berdasarkan angka di atas:

  • Ada tambahan sekitar 90 ribu pemilih baru berbanding jumlah pemilih pada tahun 2006. 
  • Jumlah undi sebenar BN tidak merosot berbanding yang diperolehi pada pilihanraya 2006.
  • Jumlah undi BN meningkat kira-kira 7 ribu daripada 378 ribu (2006) kepada 385 ribu(2011).
  • Jumlah undi PR dan calon bukan BN meningkat kira-kira 93 ribu daripada 222 ribu kepada 315 ribu.
  • Peratus jumlah undi BN dinisbahkan kepada jumlah undi keseluruhan ialah 55%.
  • Peratus jumlah undi bukan BN dinisbahkan kepada jumlah undi keseluruhan ialah 45%.
  • Jumlah undi BN merosot 8% berbanding pilihanraya 2006 daripada 63% kepada 55%.
  • Jumlah undi bukan BN meningkat 8% daripada 37% kepada 45%.
  • Peningkatan undi kaum Tionghua berjumlah hampir 24 ribu (1/4 daripada 93 ribu).
  • Peningkatan undi Dayak + Iban + Bidayuh + Orang Ulu + Melayu Melanau + lain-lain kaum berjumlah hampir 70 ribu (3/4 daripada 93 ribu)
Berdasarkan fakta di atas, tidak timbul isu perkauman Cina seperti yang cuba dimomokkan oleh Dr. Mahathir tentang DAP. Undi kaum Tionghua memang meningkat. Boleh juga dikatakan tinggi berbanding peningkatan undi kaum lain. Tetapi undi kaum lain juga meningkat secara keseluruhannya. Jika merujuk kepada setiap satu kaum, memang kadarnya berbeza di antara Dayak, Iban, Melayu dan lain-lain. Namun hakikatnya kaum bukan Tionghua pun turut beralih meninggalkan BN.

Oleh itu perkembangan pola pengundian pilihanraya Sarawak 2011 bukanlah berfaktorkan sikap pengundi kaum Tionghua sahaja. Bukan juga berfaktorkan helah atau muslihat DAP semata-mata. Ia turut melibatkan kaum lain dan parti lain pada kadar yang berbeza-beza.

Mainan propaganda Dr. Mahathir dan UMNO itu hanyalah kaedah biasa yang telah jadi budaya mereka dalam sepak terajang politik Malaysia. Malah sentimen perkauman merupakan modal politik yang telah menghasilkan keuntungan besar kepada mereka sejak sekian lama.

Di sebalik semua ini, wujud juga persoalan tentang kaum bukan Tionghua yang agak menarik untuk diperhatikan. Kenapa kadar peralihan kecenderungan kaum selain Tionghua kurang sedikit? Kenapa bangsa Melayu dan Melanau paling rendah kadar peralihannya? Kenapa bangsa Dayak / Iban lebih ke depan berbanding Melayu?

Setakat ini tidak dapat dinafikan bahawa majoriti orang Melayu masih setia menyokong BN atau menyokong UMNO (di negeri-negeri selain Sarawak)? Mungkin boleh dikecualikan orang Melayu Kelantan sahaja. Kemenangan PR di negeri Melayu Selangor, Kedah dan Perak masih bergantung kepada sumbangan undi bukan Melayu. Begitulah juga faktor kemenangan calon-calon PR di lain-lain negeri.

Apa yang tak kena dengan pemikiran orang Melayu? Kalau isunya ialah soal akses kepada maklumat, bagaimana kaum Dayak dan lain-lain peribumi Sarawak yang tinggal jauh di pendalaman boleh pula berubah?

Nampaknya kebolehcapaian maklumat adalah satu isu manakala keupayaan menilai maklumat adalah satu lagi isu. Ramai juga orang Melayu yang dapat segala maklumat yang dihebahkan oleh PR tetapi mereka tidak menerima pakai maklumat itu sebagai benar atau betul. Mereka lebih percaya kepada penjelasan UMNO/BN berhubung apa jua isu yang berbangkit walau pun hujah UMNO/BN itu tak berfakta dan tanpa bukti.

Realitinya ialah orang Melayu telah sebati dengan maklumat di TV dan akhbar yang sememangnya tak mungkin memberikan kredit kepada bukan BN. Malah media cetak dan elektronik kawalan BN itusememangnya diprojekkan untuk memburukkan semua pihak yang tak bersetuju dengan BN. Mereka amat berjaya memanipulasi dan mengeksploit semua media utama persis cara zionis menguasai dunia dengan protokol mereka  berkaitan penggunaan media.

Selain soal maklumat dan media, orang Melayu juga telah terbudaya dengan 'pemberian' sama ada berbentuk bantuan atau pinjaman mudah atau hadiah atau rasuah tak langsung. Terimaan itu membenihkan rasa terhutang budi. Orang Melayu masih kuat jiwa sentimental apabila terhutang budi. Ia membawa kepada rasa tanggungjawab untuk balas jasa.

BN/UMNO bijak bermain dengan strategi kotor ini. Yang memberi ialah kerajaan BN atau kerajaan UMNO. Yang memberi ialah menteri BN atau wakil rakyat BN. Yang memberi ialah Bahagian atau Cawangan UMNO. Maka perlulah dibalas jasa itu dengan menyokong dan membantu kerajaan BN/UMNO. Mesti sokong menteri BN. Mesti sokong UMNO dan sokong lain-lain parti komponen BN.

Tak sokong UMNO bererti tak mengenang jasa. Orang yang tak kenang jasa amat buruk gambarannya. Tuhan pun marah. Dimainkan pula seolah-olah tak halal apa yang dah diterima kalau si penerima tak kenang jasa @ tak sokong UMNO/BN.

Strategi 'sebab akibat' dan 'hukum matematik politik' ini memang kelihatan bodoh dan lucu. Cara ini hanya kaedah berpolitik orang dewasa dalam urusan kehidupan seharian melibatkan anak kecil. Dan itu pun hanya untuk urusan dengan kanak-kanak yang belum cerdik. Tetapi inilah senjata ampuh yang masih berkesan dalam dunia politik bangsa Melayu acuan UMNO. Mereka masih mempraktikkannya kerana ia sangat berjaya dan masih sangat berkesan.

Jika begitu, persoalannya ialah apakah bangsa Melayu terlalu naif sehingga pemikiran mereka masih di tahap kanak-kanak yang belum cerdik walau pun sudah akil baligh besar panjang dan dah tua?

Persoalan seterusnya ialah jiwa takut atau sifat pengecut yang menguasai bangsa Melayu. Masih ramai orang Melayu takut tentang nasib diri, nasib keluarga dan nasib bangsa dengan sebab yang tak pasti dari sudut fakta. Propaganda UMNO tentang survival masa depan bangsa Melayu memang berhasil mengukuhkan rasa bimbang dan membina jiwa pengecut orang Melayu.

Mainan kebimbangan ini diadun dengan laungan satu-satunya harapan yang ada ialah mengekalkan BN sebagai pemegang kuasa politik negara ini. Selagi BN berkuasa maka bangsa Melayu pasti selamat kerana BN diketuai oleh parti Melayu UMNO. Kalau BN jatuh, hilanglah kuasa Melayu. Jahanamlah nasib Melayu. Tamatlah riwayat raja-raja dan kesultanan Melayu. Hilanglah hak istimewa orang Melayu. Merempatlah kita di tanah air sendiri atau mungkin diusir dari tanah tumpah darah tercinta ini! Demikian mitos yang diindoktrinkan ke dalam jiwa dan pemikiran bangsa Melayu.

Strategi perkauman ini merupakan agenda resmi UMNO/BN dalam pendekatan politik mereka yang diprojekkan melalui pelbagai medium termasuk melalui jabatan kerajaan seperti pencernaan busuk dalam kursus Biro Tata Negara (BTN).

Roh perkauman inilah yang membawa kepada mainan isu milikan tanah 999 tahun yang diura-urakan di Perak era PR. Taktik inilah juga yang melatarbelakangi isu Nizar boneka Cina, Guan Eng pinggirkan Melayu, muzakarah muqabalah UMNO-PAS, lahirnya PERKASA dan seribu satu isu lagi sejak PRU 12.

Segala macam dusta dan putar belit dijalin dengan penuh seni demi mencapai matlamat politik UMNO/BN. Keunikan langkah perkauman ini semakin rancak selepas kemunculan APCO sebagai perunding/penasihat imej kerajaan @ imej Najib @ imej BN @ imej UMNO. Memang berbaloi bayaran sehingga lebih daripada RM 70 juta setahun kepada syarikat Zionis itu.

Orang Melayu mabuk sungguh dengan jiwa 'tuan' bagi negara ini. Orang Melayu juga mabuk dengan rasa bangga bahawa bangsa ini punyai kelebihan mengatasi bangsa lain. Lebih-lebih lagi apabila merujuk kepada perbezaan Islam dengan kafir. Orang Islam itu mulia dan si kafir itu hina. Walhal Melayu yang rasa mulia kerana Islam itu hidup bergelumang dengan dosa malah memperlecehkan keupayaan sistem Islam. Dengan perkataan lain, mereka sebenarnya anti Islam.

Dalam keadaan 'perasan' mulia dan hebat, Melayu itu jugalah yang ketinggalan dalam serba serbi. Melayu itu jugalah yang sangat bergantung kepada jaminan hak istimewa. Melayu itu jugalah yang tak boleh hidup tanpa geran peruntukan dan bantuan kerajaan. Melayu itu jugalah yang tak berani bersaing di gelanggang terbuka. Melayu itu jugalah yang tak yakin tentang nasib masa depannya dalam kehidupan bersama bangsa lain.

Maka sebenarnya Melayu jenis ini hidup dalam fatamorgana tipu diri. Perasan mulia tapi hina. Perasan hebat tapi pengecut. Perasan tuan tapi kuli. Perasan pandai tapi bodoh.

Hakikatnya Melayu jenis khayal inilah yang menjadi makanan UMNO/BN. Melayu fikiran kurang upaya inilah yang menjadi mangsa ugutan UMNO/BN. Melayu jenis sentiasa nak disuap inilah yang dapat digula-gulakan oleh UMNO/BN bila-bila saja.

Kesimpulannya, semua pihak yang berhasrat melihat perubahan politik Malaysia perlu mengambil perhatian yang serius tentang corak pemikiran Melayu yang majoriti ini. Barah fikiran ini mesti dirawat sehingga sembuh. Selagi kaca disangka permata oleh Melayu yang majoriti ini, selagi itulah UMNO/BN boleh merompak harta rakyat dan negara.

( Artikel ini juga dipaparkan di laman Malaysia Times di alamat http://www.malaysiatimes.my/ )

No comments:

Post a Comment