...TERKINI...

ADA CAHAYA PADA FIKIR

ilham adalah cahaya yang menyuluh perjalanan

STU-PID-I-TY

A quality or state of being stupid; more often than not the result of mistaking laziness for creativity.

FIKIR SESAAT LEBIH BAIK DARIPADA IBADAH SETAHUN

Namun jangan fahami secara salah. Yang wajib tetap wajib. Sabda Nabi SAW ini fokus kepada ketinggian nilai berfikir

AQAL MEMBEZAKAN INSAN DAN HAIWAN

Yang berakal berfikir. Yang berfikir jumpa.

fikir sana-sini

Fikir video china doll. Fikir jam omega. Fikir qarun bumi kenyalang. Fikir erdogan. Fikir perpaduan tipu. Fikir solidariti. Fikir liberal tanpa tuhan. Fikir melayu. Fikir bohong. Fikir hantu. Fikir SPR. Fikir padang tinggi rendah. Fikir sombong. Fikir syok sendiri. Fikir dakwah. Fikir jihad. Fikir seni. Fikir strategi. Fikir melayu bodoh sombong. Fikir katun. Fikir politik. Fikir poket. Fikir nafsu. Fikir oh syurga dunia. Fikir neraka ... ahhh!


PESANAN NABI S.A.W.

Sesungguhnya tidur orang berilmu lebih baik daripada solat orang jahil. (Al-Hadith)

Berfikir sesaat lebih baik daripada melakukan ibadah setahun (Al-Hadith)

Corak fikir bangsa Melayu tentang politik - analisis Sarawak

Written By cyberboron on Monday, April 25, 2011 | 3:47 AM

Bila bercakap atau menulis tentang Melayu, terasa bimbang juga kalau terbawa-bawa dengan jiwa perkauman. Kalau bukan kerana sentimen perkauman pun, orang yang bercakap atau menulis tentang bangsa memang terdedah kepada risiko dituduh bersifat perkauman.
3:47 AM | 0 comments | Baca sepenuhnya

Melayu Perlu Bangun Dari Mimpi #Siri 3

Written By cyberboron on Thursday, April 21, 2011 | 4:47 AM

UMNO nampak garang mempertahankan maruah bangsa Melayu. Nampak garang. Sesekali sampai menghunus keris di depan khalayak, sambil ada nada memberi amaran kepada bangsa lain. Jangan cabar anak Melayu! Pemuda UMNO akan pertahankan maruah bangsa Melayu hingga ke titisan darah yang terakhir. Syabas!

Maruah apa yang ada pada bangsa Melayu hari ini? Maruah apa yang ada pada UMNO sebagai parti bangsa Melayu paling besar di dunia? Maruah Melayu jenis yang mana satu mahu dipertahankan? Betulkah bangsa Melayu masih bermaruah?

Yang namanya maruah adalah berkait dengan hal, sifat dan perkara yang baik, elok, indah, hebat dan tinggi martabat. Bangsa Melayu ada maruah kalau bangsa itu baik pekerti, elok gaya, indah kehidupan, hebat pencapaian dan tinggi martabat ilmu.

Apakah bangsa Melayu hari ini memiliki pekerti, gaya, kehidupan, pencapaian dan ilmu yang melayakkan kewujudan maruah itu? Apakah pemimpin UMNO bangsa Melayu hari ini memiliki ciri-ciri manusia bermaruah seperti itu?

Bangsa Melayu pernah memiliki semua itu satu masa dulu. Sebelum tunduk kepada penjajah, bangsa Melayu di zaman Kesultanan Melaka pernah mencapai martabat hebat sebagai bangsa berakhlak mulia, berilmu tinggi, berdaya perkasa dan makmur bahagia. Adunan kecemerlangan bangsa Melayu waktu itu menjadikan Melaka sebagai destinasi bangsa timur dan bangsa barat.

Kunci kepada kecemerlangan itu ialah ilmu dan ketaatan beragama. Ia membawa kepada pembentukan dan pembinaan bangsa Melayu yang tinggi peradaban. Melayu yang urus tadbirnya adil saksama. Melayu yang menjulang hukum mendaulat undang-undang. Melayu yang jujur lagi amanah. Melayu yang kaya budi bahasa. Melayu yang kreatif meneroka pencapaian. Melayu yang gigih mencipta peluang. Melayu yang tinggi peduli pada nasib sebangsa.

Selepas daulat kesultanan tersungkur dikaki penjajah, nilai maruah bangsa Melayu beransur lucut satu demi satu, sedikit demi sedikit. Dengan paksa bercampur rela, bangsa Melayu menguis asas peradaban bangsa secara perlahan-lahan. Akhlak dan gaya bawaan penjajah menyusup masuk ke dalam minda dan jiwa bangsa Melayu. Hukum muluk dari Tuhan berganti aturan ciptaan akal manusia. Bangsa Melayu susut budipekerti. Bercampur amanah dengan khianat. Keadilan dan ketelusan tinggal kanun tidak berdaulat. Melayu merobah peradaban bangsa. Bukan menganjak ke depan tetapi berundur ke belakang. Akhirnya maruah bangsa Melayu hanya tinggal sebagai kenangan.

Maruah bangsa Melayu mengorak langkah lebih parah selepas merdeka. Bangsa Melayu dipimpin oleh UMNO membina gaya hidup baru acuan peninggalan penjajah. Kesopanan bangsa Melayu ditelan oleh kebebasan melanggar perintah tuhan. Politik bangsa Melayu bertukar nilai daripada pertanggungjawaban beramanah kepada mengejar pangkat kedudukan dan kepentingan sendiri. Kepimpinan politik bangsa Melayu ditangan UMNO beransur-ansur menjadi penguasa undang-undang, bukannya dikuasai undang-undang. Keadilan dan kesaksamaan tinggal jadi laungan palsu semata-semata. Maruah bangsa telah mati!

Melayu wajib sedar hakikat kehilangan maruah bangsa. Sebenarnya hampir tiada lagi saki baki maruah yang boleh dipertahankan. Kalau masih ada jiwa bangsa maka langkah sebenar ialah langkah membina semula nilai peradaban. Lahirkan dan asuh bangsa ini dengan acuan peradaban serba baru daripada peninggalan lama yang pernah menjulang bangsa. Maruah bangsa Melayu boleh diadakan semula setelah ditiadakan oleh tangan-tangan Melayu UMNO.

Tentang maruah itu, apa yang telah hilang?

Hampir semuanya telah hilang. Bangsa Melayu telah hilang Tuhan yang sebenar. Tuhan yang masih ada pada bangsa Melayu hanya ada pada huruf, kalimah dan perkataan yang disebut dan ditulis. Tuhan Yang Maha Besar telah dikecilkan oleh bangsa Melayu. Tuhan semesta alam ditukar oleh bangsa Melayu menjadi Tuhan masjid, Tuhan surau dan Tuhan tikar sejadah sahaja. Zat dan sifat Tuhan yang diisyaratkan oleh 99 Asma'ulHusna, telah dievolusikan secara songsang oleh Melayu UMNO hingga tinggal dua atau tiga Asma' sahaja.

Tuhan itu As-Salam, tetapi bangsa Melayu mempersetankan kesejahteraan hakiki. Hanya Tuhan itulah yang Al-Mutakabbir, tetapi bangsa Melayu telah berani berlaku sombong (takbur - takabbur) terhadap sistem yang diwahyukanNya. Tuhan itu Ar-Razzaq, Al-Fattah dan Al-'Alim, tetapi bangsa Melayu rela bergantung rezki pada manusia dan kuasa sementara. Tuhan itu Al-Hakam dan Al-'Adlu, tetapi bangsa Melayu sanggup memperlekehkan hukum-hakam dan keadilan aturan Tuhan. Tuhan itu Al-Ba'ith, Asy-Syahid dan Al-Haq, tetapi bangsa Melayu tak mahu peduli hari mereka akan dibangkitkan semula ke mahsyar untuk dipersaksikan apakah mereka hidup menjunjung kebenaran. Banyak lagi yang telah dihilangkan oleh UMNO.

Hampir semuanya telah hilang. Bangsa Melayu telah hilang adab sopan dan budipekerti. Malu telah lebur sehingga lelaki perempuan jadi jantan betina. Pepatah aur dengan tebing hilang ditelan peribahasa enau dalam belukar. Hidup bangsa Melayu penuh keakuan. Kerana harta yang fana, bangsa Melayu sanggup berbohong, memfitnah dan membunuh. Melayu didikan UMNO memenuhi sel penjara dan pusat serenti. Melayu adalah juara buang anak, menagih dadah, meragut, rempit, black metal, punk, ponteng sekolah dan macam-macam lagi.

Hampir semuanya telah hilang. Bangsa Melayu telah hilang nilai fitrah kemanusiaan. Keadilan telah lama dicabul. Amanah tinggal hanya retorik ucapan dan persembahan. Rasuah telah termaktub sebagai syarat kehidupan. Anti rasuah cuma ada di atas lencana yang dipakai oleh peminta rasuah dan penerimanya. Mahkamah jadi pentas komedi. Penguatkuasa pembenterasan jenayah bertukar jadi pelindung atau tali barut penjenayah. Kedaulatan undang-undang tinggal hanya dalam buku. Dalam hidup yang sebenar, kepatuhan kepada undang-undang itu terpulang kepada bangsa Melayu yang berkuasa. Kalau berguna untuk UMNO - daulatkan! Kalau menyakitkan UMNO - koyakkan!

Hampir semuanya telah hilang. Bangsa Melayu telah hilang khazanah kebendaan pusaka peninggalan nenek moyang. Tetapi, bangsa Melayu perlu objektif dan jujur menilai perkara ini. Fakta tetap fakta. Malanglah kalau masih mahu menafikan fakta yang tersurat dalam rekod dan laporan resmi. Malanglah kalau masih mahu menafikan fakta yang terbentang secara hidup di depan mata.

Bumi Malaysia yang berasal nama Tanah Melayu ini, dulu setiap incinya bertuankan bangsa Melayu. Hari ini tanah itu milik siapa? Pusing-pusinglah di bandaraya, selusurilah bandar besar dan pekan kecil. Kemegahan apa yang ada pada bangsa Melayu? Dari hyper market sampai ke meja kecil pasar sayur dan ikan, berapa banyak bangsa Melayu jadi tuan? Ronda-ronda di zon industri berat, kecil dan sederhana. Tuannya bangsa apa? Pandang-pandang kebun besar dan ladang saujana mata memandang, di kiri kanan jalan dan lebuh raya, atau selaut tanah hutan yang dipugar. Siapa yang punya?

Tuannya bukan bangsa Melayu. Taukehnya bukan bangsa Melayu. Managernya bukan bangsa Melayu. Kalau ada pun, pangkat bangsa Melayu hanya mandur setia dan kuli cabuk. Begitulah kebanyakannya.

Jadah apa yang membawa nasib malang pada bangsa Melayu hingga sedemikian rupa? Jawabannya ada. Sudah terang lagi bersuluh. Namun bangsa Melayu amat sukar menerima hakikat punca kesialan itu. Melayu malu mengaku. Melayu takut menerima kenyataan. Melayu sombong untuk mengesahkan kebodohan diri. Itulah masalah bangsa Melayu!

Beratus billion ringgit wang rakyat diranapkan melalui skandal BMF, Fleet Group, KWSP, Tabung Haji, LTAT, KPB, MAS, Renong, UEM, PLUS, Perwaja, MITI, ECM Libra, Khazanah, Scomi, pengkorporatan IPTA, penswastaan perkhidmatan kesihatan, Hawk, Eurocopter, Scorpene, tender tertutup dan ribuan skandal kolar putih yang lain. Tetapi bangsa Melayu tidak mahu tahu. Atau tahu tetapi tidak mahu mengakuinya. Atau mengaku tetapi tidak peduli. Paling sial ialah bangsa Melayu yang menganggap perkara itu biasa saja. Siapa pun yang memerintah, begitulah keadaannya. Pemikiran celaka kepondanan bangsa!

Tentang maruah itu, apa yang perlu dibina semula?

Bangsa Melayu perlu merawat semua punca kemusnahan maruah itu. Menyeluruh tanpa kecuali. Membalut jari kaki yang busuk bernanah tidak menyembuhkan diabetes yang menyerang seluruh sistem badan. Mengurangkan makan belum tentu menyelesaikan masalah obesiti. Pakai baju baru tidak menghilangkan gatal kurap. Punca penyakit itu mesti dirawat dan ditiadakan.

Maruah bangsa Melayu punah kerana sistem hidup yang salah. Sistem itu mesti diperbetulkan atau diganti bergantung kepada keparahannya. Perosak sistem itu ialah UMNO. Oleh itu UMNO mesti diberhentikan dari tugas mengolah dan mengawal sistem. Terus beri kepercayaan kepada UMNO sambil mengharap kepunahan itu akan beransur sembuh, adalah tindakan dan harapan yang sia-sia. Budaya songsang yang merosakkan bangsa itu telah berakar umbi dan berdarah daging dalam UMNO. Bangsa Melayu wajib berani melakar sejarah baru.
4:47 AM | 0 comments | Baca sepenuhnya

Melayu Perlu Bangun Dari Mimpi #Siri 2

Tergugatkah nasib bangsa Melayu kalau UMNO kalah? Setakat ini kebanyakan ahli biasa UMNO memang percaya kalau UMNO kalah maka tergugatlah nasib bangsa. Ketuanan bangsa Melayu dikaitkan dengan UMNO sahaja. Nasib bangsa Melayu hanya ditangan UMNO. Hilang UMNO teraniayalah bangsa. Parti bangsa Melayu hanyalah UMNO.

Ahli biasa UMNO percaya bahawa jasa UMNO kepada bangsa Melayu terlalu besar. Tiada tolok bandingnya. Tanah Melayu dimerdekakan oleh UMNO. Tanpa UMNO terjajahlah negara. UMNO telah membangunkan negara ini selama 52 tahun. Semua yang ada di depan mata pada hari ini adalah hasil usaha gigih UMNO. Kalau bukan kerana UMNO, pasti tidak membangunlah negara ini. Jasa UMNO terlalu besar!

Kata seorang tua berumur 82 tahun:

“ Dulu rumah orang Melayu berdinding papan beratap rembia atau nipah. Sekarang berdinding konkrit berbumbung genting atau asbestos. Dulu waktu malam berpelita katak, sekarang indah disinari lampu kalimantang dan neon. Dulu orang Melayu berbasikal cabuk, sekarang berkereta Proton Wira. Dulu minum air sungai dan air telaga, sekarang pulas tembaga di tepi dinding bahkan ada water filter berharga mahal. Dulu menonton wayang pacak propaganda 5 bulan sekali, sekarang dah pasang Astro dan boleh menonton movie 24 jam sehari. Dulu anak dara Melayu melumur bedak sejuk, sekarang nenek Melayu pun pandai guna masking gel keluaran Avon. Dulu budak-budak main galah panjang dan hand-made gasing, sekarang main online computer games, siap bertarung dengan budak mat saleh di Frankfurt. Dulu hisap rokok daun tembakau jawa kilang cina Sungai Petani, sekarang hisap American Blend cigarettes dan sekali sekala pekena Cuban Cigars. Dulu pemuda Melayu setakat boleh mengorat ratu kampung yang jarang-jarang keluar rumah, sekarang boleh sewa 3 GRO sekali jalan. “

Siapa yang membawa perubahan ini? UMNO! Kalau bukan jasa UMNO, mungkin ramai bangsa Melayu masih pakai cawat. Kalau bukan jasa UMNO, mungkin bangsa Melayu masih berkayuh basikal di atas jalan tanah berdebu. Kalau bukan jasa UMNO, mungkin bangsa Melayu berjalan waktu malam masih menjunjung jamung. UMNO memang berjasa!

Pengkisahan, perbandingan dan jawab-soal ini mungkin keterlaluan atau melucukan, namun inilah realiti pemikiran kebanyakan orang Melayu ahli biasa UMNO.

PAS memang parti Melayu juga walau pun muslim bukan Melayu boleh menjadi ahlinya. Tetapi PAS bukan memperjuangkan hak dan ketuanan bangsa Melayu seperti UMNO. Kalau pun ada serba sedikit pembelaan nasib bangsa Melayu dalam agenda PAS kerana kebetulan majoriti orang Islam di negara ini berbangsa Melayu, kesungguhan parti Islam itu tetap tidak dapat dibandingkan dengan ketulenan dan jasa agenda Melayu dalam UMNO. Seperkara lagi, imej Islam PAS telah bersalut dengan extremism, fanatik, kolot, anti-establishment dan pelbagai label yang buruk lagi menakutkan. Oleh itu PAS tidak sesuai dengan agenda perjuangan bangsa untuk orang Melayu.

PKR baru setahun jagung. Jasa dan bukti apa yang boleh menarik bangsa Melayu untuk menyertainya? Tambahan pula keahlian parti itu terbuka untuk semua kaum. Pemimpin-pemimpinnya pun ada Melayu dan ada bukan Melayu. Oleh itu perjuangan bangsa tiada kena mengena dengan PKR. Selain itu, PKR juga dilihat sebagai parti Anwar Ibrahim dan keluarganya. Parti Anwar-Azizah-NurulIzzah. Kelahirannya pun hanya kerana membela Anwar selepas disingkirkan daripada UMNO dan didakwa atas tuduhan meliwat. Agendanya ialah cita-cita peribadi Anwar. Maka parti itu tiada kaitan langsung dengan perjuangan hak dan kedaulatan Melayu.

Parti yang bernama DAP tak perlu dihurai panjang. DAP telah lama sinonim dengan komunis, anti-Melayu dan babi. Menyebut namanya pun sudah jijik. Lim Kit Siang dan Karpal Singh adalah kafir yang jahat lagi laknat. Penderhaka kepada Raja. Pencabar maruah, hak dan ketuanan bangsa Melayu. Mereka mahu menjadikan negara ini sebagai sebahagian daripada negara China atau jajahan takluk Singapura.

Demikian ulasan tentang parti-parti politik utama di Malaysia menurut persepsi orang Melayu ahli biasa UMNO di cawangan dan pemimpin-pemimpin kecil UMNO yang belum kaya raya setelah dua tiga puluh tahun setia bersama parti itu.

Wahai saudaraku bangsa Melayu!

Tiada sesiapa pun boleh menafikan sumbangan UMNO kepada bangsa dan negara ini. Walau pun langkah dan tindakan UMNO di sepanjang sejarah ada pro dan kontranya, namun sumbangan parti itu tetap wujud. Walau pun gelagat pemimpin-pemimpin UMNO sejak sebelum merdeka hingga kini sarat dengan kisah kepentingan diri dan skandal, namun kekuatan massa yang dibentuk oleh ahli-ahli biasa UMNO tetap menjadi faktor yang menggentarkan ketahanan penjajah. Tiada siapa boleh menafikannya!

Bersama dengan pengiktirafan kepada UMNO itu, bangsa Melayu tidak boleh menafikan sumbangan pihak lain di sepanjang sejarah tanahair ini. Kemerdekaan adalah buah yang dituai oleh UMNO, tetapi pokok yang mengeluarkan buah itu ditanam, dibajai, disiram dan dibelai bersama-sama oleh UMNO, Hizbul Muslimin, PAS, API, AWAS, PKMM, Parti Buruh, karyawan Kaum Muda dan beberapa kumpulan kecil yang lain. Tribulasi gerakan menuntut kemerdekaan ditanggung dengan lebih parah oleh parti dan kumpulan selain UMNO. Dr. Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam dan Pak Sako yang merengkok dalam tahanan penjajah, bukan pejuang UMNO. Kenapa mereka dipenjarakan? Kerana penjajah dapat merasakan kesan gerakan tokoh-tokoh itu membangkitkan kesedaran orang Melayu menentang penjajahan. Penjajah takut kepada mereka. Dan mereka bukan UMNO!

UMNO adalah parti yang direstui oleh penjajah. Kebanyakan kakitangan berbangsa Melayu yang bekerja dengan kerajaan penjajah adalah ahli dan pemimpin UMNO. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sendiri adalah pegawai daerah dalam kerajaan penjajah. Penjajah memberi laluan kepada UMNO untuk menonjol sebagai kumpulan paling penting dalam gerakan menuntut kemerdekaan, dengan tujuan menyerap asakan yang lebih kuat oleh parti dan kumpulan lain. Penjajah senang berurusan dengan UMNO kerana parti itu mudah menerima kehendak dan kepentingan penjajah yang mahu dikekalkan bersama kemerdekaan yang dirundingkan.

Kesedaran bangsa Melayu bangkit menentang penjajahan bukan hasil usaha UMNO. Keyakinan dan semangat memerdekakan tanahair itu berpusat di institusi-institusi pendidikan masyarakat yang formal dan tidak formal iaitu di pondok-pondok pengajian Islam, sekolah-sekolah agama, masjid dan surau. Lanjutan daripada pembenihan yang berlaku di institusi-institusi tersebut, barulah kesedaran itu merebak ke unit-unit komuniti yang lain seperti organisasi pentadbiran kampung-kampung dan persatuan-persatuan orang Melayu yang lain.

Sejarah mencatatkan fokus sebenar ketakutan penjajah terhadap gerakan yang membiak daripada institusi keagamaan ini, dengan ungkapan “Bahaya Dari Gunung” yang merujuk kepada Maahad Al-Ehya’ Al-Syariff di Gunong Semanggol Perak. Sekolah agama itu diterajui oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, pemimpin Hizbul Muslimin. Kesungguhan parti Islam itu menggerakkan kesedaran rakyat menyebabkan penjajah mengambil tindakan mengharamkannya. Kematian Hizbul Muslimin digantikan dengan kelahiran Persatuan Islam SeTanah Melayu (PAS) oleh kumpulan aktivis yang sama.

Kesedaran dan kebangkitan bangsa Melayu berkait langsung dengan ilmu dan maklumat. Pemimpin yang mampu menyedarkan dan membangkitkan kudrat rakyat ialah pemimpin berilmu dan bermaklumat. Di zaman penjajahan, kebanyakan bangsa Melayu yang berilmu adalah graduan institusi pendidikan tinggi Timur Tengah dan Asia Selatan. Mereka tidak berada dalam UMNO. Persatuan pilihan mereka ialah Hizbul Muslimin, PAS, PKMM dan kumpulan karyawan Kaum Muda. UMNO menjadi lubuk graduan yang dihantar oleh penjajah ke institusi pendidikan tinggi United Kingdom. Melayu berijazah yang memimpin UMNO bersifat mesra ‘orang putih’. Melayu UMNO ini juga mahukan kemerdekaan tetapi boleh bertolak ansur dengan kehendak penjajah British. Justeru itulah penjajah mencipta ruang sehingga UMNO dapat mengambil alih kepimpinan suara kebangkitan rakyat yang dimobilisasi oleh golongan agama dan sosialis. UMNO bukan pencetus dan penggerak kemerdekaan. Parti itu hanya menuai buah yang terhasil daripada kerja keras pihak lain.

Wahai saudaraku bangsa Melayu!

Sejarah adalah guru. Malangnya ia kurang diberikan perhatian. Lebih malang lagi apabila fakta sejarah diputar-belitkan. Kulitnya dipamerkan sedang isinya disembunyikan. Inilah nasib sejarah bangsa Melayu termasuk fakta tentang perjuangan kemerdekaan.

Pingat perjuangan kemerdekaan adalah milik seluruh rakyat. Bukan milik UMNO sahaja, bahkan mungkin jasa UMNO hanya juzuk kecil dalam kebangkitan besar itu. Yang berpayah dan derita di perjalanan menuntut kemerdekaan itu bukan pemimpin UMNO tetapi pemimpin parti dan persatuan Melayu lain. Itulah hakikat dan fakta sejarah.

Oleh itu bangsa Melayu perlu menyingkirkan nostalgia songsang tentang jasa UMNO kepada kemerdekaan nusa tercinta ini. Kononan nostalgia itu telah terlalu banyak merosakkan usaha memartabatkan bangsa melalui pentas politik. Kepercayaan karut bahawa UMNO saja yang boleh mentadbir negara ini, wajib dihumban dan ditimbus dalam perigi buta.

Wahai saudaraku bangsa Melayu!

Kenapa takut dan ragu pada parti politik lain? Kerana kepentingan bangsa? Apa bukti parti politik lain telah atau akan merugikan bangsa? Tidakkah keistimewaan dan keutamaan bangsa Melayu itu telah termaktub dalam perlembagaan? Apakah bangsa Melayu terlalu naïf sehingga tidak menyedari betapa tanah, bahasa, budaya, agama dan keperibadian bangsa Melayu serta segala macam ruang menikmati khazanah negara telah dikikis dan dihakis oleh UMNO?

Kalau asas pendirian dan semangat kita ialah bangsa Melayu, maka yang memimpin parti-parti lain itu pun Melayu juga. PAS dipimpin oleh orang Melayu. PKR pun dipimpin oleh bangsa Melayu. Cuma DAP didominasi oleh kaum Tionghua walau pun asas parti itu berbilang kaum. Kalau isunya pada DAP, harus diinsafi betapa MCA, MIC, PPP dan banyak lagi parti komponen BN adalah parti bukan Melayu. Kalau orang Melayu boleh bersahabat dengan MCA dan MIC, kenapa tidak boleh berkawan dengan DAP? Pendirian dalam hal ini berkait dengan kualiti pemikiran. Fikirkanlah!

Nyawa sebenar pentadbiran negara dan negeri ialah keadilan. Nadi kesaksamaan pengagihan khazanah negara dan negeri ialah ketelusan. Pemacu pembangunan dan kemajuan bangsa Melayu bersama semua rakyat berbilang kaum ialah amanah dan ilmu.

Bangsa Melayu perlu cukup kewarasan untuk menilai persoalan ini. Orang Melayu ahli biasa dan pemimpin kecil UMNO tahu betapa ketidakadilan telah lama membarah dalam pengurusan negara di tangan pemimpin UMNO. Orang Melayu ahli biasa dan pemimpin kecil UMNO juga tahu betapa ketelusan telah pupus dalam pentadbiran negara acuan pemimpin UMNO. Terlalu banyak perkara yang disembunyikan oleh pemimpin UMNO. Terlalu banyak yang disekat daripada pengetahuan rakyat melalui akta hasutan, OSA dan manipulasi media. Orang Melayu ahli biasa dan pemimpin kecil UMNO juga tahu betapa amanah telah lama punah dalam budaya UMNO. Rasuah telah beraqidah dalam politik UMNO dari atas sampai ke bawah. Maka apa lagi yang ada pada UMNO? Hak bangsa? Maruah bangsa? Ketuanan bangsa? Kedaulatan bangsa? Martabat bangsa? Kemajuan bangsa? Pemimpin UMNO telah lama menguburkan semua itu!

Bangsa Melayu perlu buang nostalgia cinta UMNO. Kita harus membina kejujuran pada daya fikir yang masih sihat. Tidak perlu rasa malu untuk mengakui kebenaran. Tidak hilang maruah diri kalau menjabat tangan bekas musuh demi keadilan, ketelusan, amanah dan kemajuan hakiki. PAS bukan musuh. PKR bukan seteru. Pintu rumah ini sentiasa terbuka untuk menyambut anak Melayu yang sayangkan bangsa dan nusa.
4:44 AM | 0 comments | Baca sepenuhnya

Melayu Perlu Bangun Dari Mimpi #Siri 1

Semua bangsa ada jiwanya yang tersendiri. Ada satu semangat yang tak dapat diungkap sepenuhnya dengan hanya susunan kata-kata. Ada perasaan yang unik. Ada rasa tanggungjawab. Ada daya membela. Ada desakan halus untuk memelihara maruah. Ada cetusan fikir tentang darjat dan martabat. Mungkin ada seribu lagi nyawa bagi jiwa bangsa itu.

Bangsa Melayu juga begitu jiwanya.

Kalau terdengar ada perkelahian antara orang Melayu dengan orang bangsa lain, jiwa kita cepat berasa mahu membela. Banyak insiden Melayu membela Melayu tanpa lebih dulu usul periksa pun. Kalau kebetulan terserempak dengan peristiwa kemalangan jalanraya, kebanyakan kita akan bertanya “Melayu ke?”. Kita lebih bersungguh-sungguh membantu jika mangsa kemalangan itu sebangsa dengan kita. Hati kita amat terusik kalau terjumpa orang Melayu yang merempat dan melarat. Simpati pasti membuak-buak. Kalau yang kedana itu bangsa lain, ada juga rasa simpati tetapi tidaklah setaraf rasa pada bangsa sendiri. Itulah realiti jiwa bangsa.

Di sebalik realiti itu, semua bangsa termasuk bangsa Melayu berbalah juga sesama sendiri. Bangsa Arab yang lebih kuat ikatan bangsanya itu pun, berkelahi juga sesama mereka. Melayu pun begitu. Sepanjang sejarah yang ada catatannya, kehidupan bangsa Melayu diwarnai pelbagai krisis antara individu, kelompok atau institusi yang lebih besar seperti daerah dan negeri.

Melayu moden tak pernah ‘satu’ sejak belum merdeka lagi. Ada kelompok kanan dan ada kelompok kiri. Ada yang menentang penjajah dan ada yang bekerja sebagai penjawat awam kerajaan penjajah. Ada Kaum Muda dan ada Kaum Tua. Ada nasionalis, ada islamis, ada liberalis, ada sosialis bahkan ada yang komunis. Orang Melayu tetap satu bangsanya iaitu bangsa Melayu tetapi pemikiran dan hala tuju sentiasa berbeza antara sebahagian dengan yang lain.

Apa yang ada pada bangsa Melayu? Apakah Melayu itu satu sistem hidup atau satu fahaman atau satu idealisme yang boleh dijunjung dan diperjuangkan?

Melayu cuma salah satu bangsa daripada beribu-ribu bangsa yang wujud di dunia. Secara akademik, bangsa Melayu itu cuma satu kumpulan manusia yang susur galur keturunannya berpunca dari nenek moyang yang sama. Ikatan bangsa Melayu adalah ikatan kekeluargaan yang besar.

Apa yang ada pada bangsa Melayu? Asal usulnya, setiap keluarga ada corak kehidupannya yang tersendiri dan berbeza (sedikit atau banyak) dengan amalan kehidupan keluarga lain. Corak dan amalan itu berkembang bersama pembesaran rantaian keluarga itu. Sebahagian daripadanya menjadi amalan bersama. Maka terbentuklah budaya. Budaya sebuah keluarga besar bernama bangsa Melayu. Ada bahasa, upacara, pakaian, makanan, keramaian, permainan, hiburan dan adat istiadat. Di celah-celah corak dan amalan itu, muncullah semangat dan jiwa yang dipupuk sehingga lahir istilah cinta kepada bangsa.

Apa yang ada pada bangsa Melayu? Keris, cokmar, tengkolok, selepang, capal, keronsang dan kebaya hanyalah pakaian. Zapin, gamelan, dondang sayang, dikir barat, kuda kepang dan mak yong hanyalah tari dan nyanyi yang dipersembahkan semasa upacara keramaian. Silat gayong, silat lincah, silat pulut dan silat sendeng hanyalah seni mempertahankan diri. Semua itu hanya sejarah bangsa Melayu. Walau pun masih dipakai, ditari, dinyanyi dan dipencak sehingga hari ini namun sifat kewujudannya kini cuma sebagai kenangan yang dipertahankan. Ia bukan harta yang boleh berkembang dan bukan perkakas yang boleh menjulang martabat bangsa. Cuma janganlah warisan itu hilang begitu saja.

Apa yang ada pada bangsa Melayu? Apakah bangsa Melayu ada kelebihan khas yang meletakkan ia setingkat atau beberapa tingkat lebih tinggi daripada bangsa lain? Bangsa Quraish berbangga dengan kelebihan mereka sebagai keluarga Rasulullah SAW. Bangsa Yahudi berbangga dengan dakwaan memiliki kelebihan IQ dan kecerdasan minda. Bangsa Eropah berbangga dengan kelebihan mendominasi ilmu dan politik dunia moden. Bangsa Melayu ada apa?

Tun Mahathir dalam bukunya Malay Dilemma menyifatkan Melayu sebagai bangsa yang lemah dan lembap. Disebabkan keyakinannya itu juga, dia mengungkapkan kata-kata “Melayu mudah lupa” 40 tahun selepas menulis kitab Malay Dilemma. Apakah Tun Mahathir betul?

Kalau Melayu memang lemah, lembap dan mudah lupa, bagaimana boleh lahir puluhan ribu profesional Melayu yang hebat termasuk Tun sendiri? Maka logiknya Melayu bukan lemah dan lembap kerana faktor bangsa atau keturunannya. Melayu ketinggalan kerana sikap yang terhasil daripada budaya kehidupannya. Melayu lemah kerana memilih untuk lemah. Melayu lembap kerana cuai dan lalai.

Apa yang ada pada bangsa Melayu? UMNO melaungkan perjuangan bangsa Melayu sejak lebih 50 tahun. UMNO mahu mendaulatkan apa? Mendaulatkan bangsa Melayu? Bagaimana bentuk sebenar kedaulatan bangsa Melayu yang UMNO perjuangkan?

Kalau maksud kedaulatan Melayu itu pada ketuanannya di tanahair ini, memang Melayu sudah mengepalai pemerintahan negara sejak dulu lagi. 5 Perdana Menteri negara ini sejak merdeka hingga kini adalah orang Melayu. Melayu UMNO.

Kalau maksud kedaulatan Melayu itu pada bersinggahsana Raja-Rajanya, memang sampai saat ini baginda semua masih bertakhta di istana. Cuma kuasa Raja-Raja Melayu telah berkurang sedikit setelah dua kali UMNO mengecilkan peranan Raja melalui pindaan Perlembagaan Malaysia.

Ada satu perkara sahaja yang masih ada ruang untuk diperjuangkan iaitu kalau maksud kedaulatan Melayu itu ialah perihal menguasai khazanah tanahair. Bangsa Melayu masih tertinggal jauh berbanding bangsa lain hampir dalam semua bidang. Bangsa lain terus membeli tanah daripada bangsa Melayu yang pandai menjual tanah. Bangsa lain membesarkan perniagaan ketika bangsa Melayu berbondong-bondong gulung tikar. Bangsa Melayu masih tak dapat mengejar bilangan profesional bangsa lain walau pun universiti bertambah banyak. Bangsa Melayu masih ke hulu ke hilir memohon untuk jadi kuli di firma dan syarikat milik bangsa lain.

Apa yang ada pada bangsa Melayu untuk mencapai matlamat perjuangan menguasai khazanah tanahair ini? Bangsa Melayu ada UMNO! Kebanyakan orang Melayu pun memang berada dalam UMNO. Sudah 50 tahun orang Melayu memberikan kepercayaan kepada UMNO untuk memperjuangkan nasib bangsa. UMNO ada kuasa politik. Kuasa itu cukup besar untuk membolehkan bangsa Melayu mendapat kemudahan, peluang dan bimbingan. Kebetulan pula tanahair ini kaya dengan pelbagai sumber. Hasil negara amat besar. Tetapi bangsa Melayu terus tertinggal. Apa masalahnya?

Masalah utamanya ialah UMNO. Parti yang kononnya memperjuangkan nasib bangsa Melayu itu sebenarnya tidak pernah betul-betul peduli tentang bangsa. Rangkai kata ‘bangsa Melayu’ hanya alat untuk mendapatkan kuasa. Masalah yang lebih besar ialah mereka sendiri tidak menyedari hakikat perilaku mereka. UMNO kecil dan UMNO besar itu kebanyakannya masih percaya bahawa mereka telah dan sedang mempertahankan hak bangsa Melayu. Apabila sudah begitu keadaannya maka sukarlah untuk menghentikan keterlanjuran. Payahlah nak memperbaiki keadaan.

Tanyalah pada pemimpin-pemimpin UMNO cawangan dan bahagian, nescaya ternyata survival bangsa bukanlah agenda penglibatan mereka dalam politik. Agenda mereka ialah habuan untuk diri dan keluarga. Sambil mengumpul seberapa yang dapat, terpaksa jugalah berkongsi habuan itu dengan rakan-rakan tertentu iaitu sesiapa yang boleh memudahkan misi peribadi yang asal.

Demi kedudukan dalam parti dan habuan untuk diri, Melayu UMNO tak pernah peduli hak atau masa depan bangsa. Hampir 2 juta hektar Tanah Rizab Melayu telah bertukar statusnya dan menjadi milik bangsa lain. Siapa punya angkara? Semua itu adalah hasil perbuatan Melayu UMNO. Bercambah tumbuh premis kediaman dan perniagaan bangsa lain di merata bandar dan pekan bahkan sampai ke kampung-kampung, siapa yang berkuasa memberi laluan? Undang-undang, polisi dan kelulusan adalah ditangan pihak berkuasa. Siapa yang berkuasa? UMNO!

Bangsa Melayu terus tercicir. Orang Melayu masih ramai yang miskin bahkan fakir. Pendapatan isi rumah keluarga Melayu adalah yang paling rendah berbanding bangsa lain. Hampir 40% hutang TEKUN, hutang MARA, hutang Micro Credit, hutang Amanah Ikhtiar dan hutang Ah Long tertunggak tak dapat dibayar oleh peminjam bangsa Melayu. Kebanyakannya ahli UMNO. Sebab apa? Sebab pendapatan terhad! Projek tak berdaya maju. Ruang peluang yang kecil. Bimbingan sekadar melepas batuk ditangga. Siapa yang paling mampu menyelesaikan masalah-masalah ini? Satu-satunya pihak yang boleh menyelesaikannya ialah kerajaan. Siapa yang menguasai kerajaan? UMNO!

Tanyalah pada wakil-wakil rakyat UMNO tentang agenda meningkatkan taraf hidup orang Melayu di kawasan mereka, nescaya terkebil-kebil Yang Berhormat itu nak menjawabnya. Kalau kebetulan teringat, Yang Berhormat akan jawab dengan cerita dana IKS, kemudahan pinjaman, program latihan kemahiran dan satu dua lagi program pembangunan yang dilaksanakan oleh beberapa kementerian. Program Yang Berhormat sendiri? illek poochik!

Masalah kedua tetapi lebih utama ialah pemikiran orang Melayu UMNO yang kebanyakan. Ahli biasa dan AJK UMNO cawangan. Jiwa UMNO kelompok ini lebih kental daripada pemimpin-pemimpin UMNO. Mati hidup balik pun tetap UMNO.

Pemimpin-pemimpin UMNO tahu bahawa pembelaan nasib bangsa bukan agenda UMNO. Pemimpin-pemimpin UMNO tahu pengkhianatan yang dilakukan oleh parti itu terhadap bangsa Melayu. Mereka sendiri pun sebahagian daripada pelaksana pengkhianatan itu. Tetapi perkara itu tak bolehlah diakui apatah lagi diberitahu kepada ahli-ahli biasa yang akan mengundi lagi dalam pilihanraya seterusnya. Perjuangan hak dan kedaulatan bangsa mesti terus dilagukan semerdu mungkin supaya pemimpin boleh terus berkuasa. Ahli biasa cukuplah dengan peruntukan seribu dua sekali sekala.

Bangsa Melayu perlu belajar sifir politik dan kehidupan. Melayu UMNO di kampung-kampung perlu menguasai ilmu hisab atau matematik. Melayu perlu belajar ilmu pentadbiran, ekonomi, undang-undang dan sejarah. Turun naik indeks komposit dan pergerakan nilai tukaran Ringgit-USD serta kaitannya dengan kehidupan kita, juga mesti diambil tahu. Bangsa Melayu perlu ambil tahu bagaimana dan ke mana leburnya berbilion wang rakyat di KWSP dan Tabung Haji. Bangsa Melayu perlu ambil tahu mengapa kediaman resmi Perdana Menteri dan Timbalannya disewa dengan nilai ratusan juta ringgit setahun. Melayu UMNO perlu ambil tahu kekayaan luar biasa anak menantu wakil-wakil rakyat mereka. Selagi ahli biasa UMNO tidak tahu semua perkara ini, maka selagi itulah nasib bangsa Melayu tak terbela dan malang sentiasa.
4:41 AM | 0 comments | Baca sepenuhnya

Brahma Menipu Paria Celaru

(Artikel ini diambil dari blog 'jeritan minda politik malaysia' yang kini telah ditamatkan aktivitinya. Pertama kali online pada 14 Februari 2009 dalam suasana politik negeri Perak yang bercelaru berikutan rampasan kuasa yang amat tragis)

Menyelami Fikrah UMNO

Apa sebenarnya yang ada dalam pemikiran ahli dan penyokong UMNO? Kepercayaan apa yang terpasak dalam hati mereka? Adakah benar mereka menyokong UMNO kerana menjiwai idealisme perjuangan bangsa? Benarkah akal dan kalbu mereka sebati dengan fahaman kebangsaan (nasionalisme)? Benarkah mereka bangga dan kasih kepada bangsa mereka sehingga sedia berenang di lautan api dan sanggup bertempur hingga ke titisan darah yang terakhir demi memartabatkan ketuanan bangsa iaitu ketuanan Melayu?

Kajian ini amat penting jika kita serius mahu menganjak persepsi dan merobah hala-tuju bangsa Melayu dalam hal dan urusan politik.

Melayu yang dari awal lagi sudah UMNO memang sukar dirobah pendiriannya. Melayu remaja dan muda yang terdedah kepada dunia maklumat pun masih terus ada yang mengisi borang permohonan keahlian UMNO. Melayu yang pernah menyertai parti politik lain (PAS, PKR, HAMIM, BERJASA dan lain-lain) juga ada yang kini menyertai atau menyokong UMNO.

Pesaing utama UMNO di pasaran politik bangsa Melayu sejak pra-merdeka hingga kini ialah PAS. Keahlian PAS terus meningkat. Anak muda Melayu yang berpelajaran lebih cenderong memilih PAS. Sejak DS Anwar Ibrahim meninggalkan UMNO, ramai belia dan pemuda berpelajaran memilih PKN dan kini PKR sebagai wadah politik. Namun UMNO masih ada daya untuk terus berkayuh. Pewujudan Putera dan Puteri UMNO berhasil juga memberi nafas bonus kepada UMNO. Dua sayap baru ini menjadi sumber bagi Pergerakan Pemuda dan Wanita UMNO untuk merekrut keahlian. Gelanggang tempur politik ini masih imbang kekuatan antara peserta-pesertanya.

Kenapa Melayu UMNO masih mahu kekal dengan UMNO? Apa yang ada dalam UMNO?

Sesungguhnya tiada idealisme apa pun yang dijiwai oleh pemimpin UMNO atau ahli biasanya. Nasionalisme atau semangat kebangsaan Melayu telah lama hilang dari kamus dan diari perjuangan UMNO. Hakikat sebuah 'perjuangan' itu pun sebenarnya sudah pupus. Ketuanan Melayu hanya ada di mulut pemimpin UMNO tapi tiada di fikiran dan jauh sekali di hati. Melayu di tangan UMNO sudah lama hilang martabat sebagai 'tuan'. Melayu UMNO tahu betapa Melayu bukan lagi tuan di Tanah Melayu. Namun mereka tak mahu menginsafi bahawa Melayu hari ini hanya tuan di mulut tetapi tidak di mata dan di hati.

Bahasa yang kononnya jiwa bangsa itu pun diterajang oleh pemimpin-pemimpin besar UMNO dengan memaksakan PPSMI. Pemimpin kecil dan ahli UMNO angguk saja. Mujurlah akhirnya UMNO kelihatan mahu menimbang semula untuk menarik balik keterlanjuran itu setelah bertahun-tahun Melayu PAS, Melayu PKR, Melayu NGO dan Melayu karyawan membangkang polisi itu.

UMNO juga gagal mempertahankan budaya bangsa Melayu, malah istilah budaya itu sendiri pun gagal difahami. Budaya dari sudut pandang UMNO hanya berkisar pada laku seni dan libur. Budaya yang dimartabatkan oleh UMNO hanya berlegar di medan nyanyi, tari, lakon dan pementasan klasik seumpama Mak Yong dan Menora. Kerana sudut pandang itulah maka kementerian yang menguruskan budaya cuma diberi tugas yang berkisar di FINAS, Istana Budaya dan industri perfileman selain dari sedikit tanggungjawab berkaitan warisan sejarah.

Budaya Melayu yang sebenarnya adalah pada seluruh prinsip dan nilai kehidupan bangsa kita bertunjangkan aqidah Islam sebagai sistemnya. Budaya Melayu itu adalah pada sopan santun keperibadian, keprihatinan bertolong-tolongan, kerukunan hubungan bermasyarakat, kesanggupan berkorban harta dan nyawa demi keyakinan, kegigihan meneroka kejayaan dan pelbagai keazaman murni yang hebat belaka.

Mana satu budaya Melayu yang berjaya dimartabatkan oleh UMNO? Budaya Balck Metal? Budaya buang anak? Budaya hisap dadah? Budaya tukar agama? Budaya jantan betina berpeleseran dan bersekedudukan? Budaya beri dan minta rasuah? Budaya bolot harta rakyat? Budaya berebut pangkat? Budaya ugut? Budaya buta Quran? Budaya rempit?

UMNO selamanya menafikan pertanggungjawaban mereka atas kehancuran jati diri anak bangsa seperti yang dinyatakan ini. UMNO menyalahkan ibubapa yang mendidik dan guru-guru yang mengajar. UMNO tak mahu menginsafi betapa puncanya ialah persekitaran busuk yang mereka sediakan melalui dasar yang diperkenalkan sejak merdeka. Namun begitulah mentaliti UMNO!

Baki nyawa UMNO yang masih liat itu berdenyut dalam diri ahli UMNO di peringkat cawangan. Di level itulah UMNO bertapak teguh. Pemimpin UMNO yang tak menggalas sebarang wawasan bangsa itu tetap dapat bersinggahsana di tampuk kuasa dengan sokongan, kerja dan undi ahli UMNO peringkat cawangan. Panglima dan pendekar UMNO level cawangan yang 'agi idup agi ngelaban' itu adalah kelompok yang tak mungkin sampai kemana-mana dalam hiraki UMNO tapi merekalah nyawa sebenar UMNO.

Kenapa mereka begitu setia?

UMNO level itu kekal setia kerana masih percaya bahawa parti mereka adalah wadah bangsa dan pemimpin mereka adalah pejuang bangsa. Mereka percaya bangsa Melayu sedang terancam. Bangsa lain sedang melangkah untuk merampas hak Melayu. Ketuanan Bangsa @ Ketuanan Melayu sedang digugat. Parti Melayu tulen hanyalah UMNO. Maka sebagai anak Melayu "aku wajib bersama UMNO demi mempertahankan ketuanan, kedaulatan dan hak bangsa'. Melayu jenis ini pasti melompat marah jika UMNO dipertikai apatah lagi dihina.

Melayu UMNO level paling bawah tapi paling ramai jumlahnya ini yakin bahawa tanahair merdeka ini adalah hasil mahsul perjuangan UMNO. Tanpa UMNO tiadalah merdeka. Maka membenci UMNO adalah kufur nikmat manakala menentang UMNO adalah khianat. Mereka mengakui UMNO ada salah dan silap tapi meninggalkan UMNO tetap tak patut. Salah silap dalam UMNO perlu diperbetulkan dari dalam UMNO sendiri. Sejarah perjuangan UMNO memerdekakan negara tak harus dilupakan begitu saja. Bumi mana tak ditimpa hujan? Dek kerana itu, sebusuk mana sekalipun UMNO, ia tetap wadah kebanggaan bangsa yang mesti dipertahankan. Aduh!

UMNO level ini juga amat sentimental dengan sekupang dua yang pernah dihulurkan oleh kerajaan UMNO sepanjang hidup mereka. Sekupang dua bantuan dan sekangkang dua kangkang tanah yang diterima itu tersemat kukuh sebagai 'jasa' UMNO yang wajib dikenang dan di balas.

"Semua orang ada baik dan ada buruk. UMNO ada baik dan buruk. PAS ada baik dan buruk. PKR ada baik dan buruk. Seburuk manapun UMNO, baiknya tetap ada. Yang baik itu kita nak buang ke mana? PAS bagus tapi hal apa yang PAS pernah berjasa kepada kami? PKR baru berapa tahun saja umurnya. Tak payah tanyalah tentang jasa!" Begitulah kenyataan sebenar seorang ahli UMNO level ini yang pernah jadi ketua pemuda UMNO cawangan 20 tahun dulu.

Pemimpin UMNO boleh diiktiraf berjaya men'doktrin'kan dalam jiwa Melayu level paling bawah ini tentang 'jasa-setia-kenang-balas' yang mereka projekkan dengan belanja besar. Media elektronik, media cetak, BTN, JASA, JAKIM, IKIM dan sekelian jentera yang berkaitan telah melaksanakan tugas dengan baik. Rakyat yang sekolah sikit-sikit sahaja dan kemudiannya jadi ahli UMNO memang beraqidah sungguh-sungguh dengan rukun 'jasa' ini. Aduh!

Kalau di India dulukala darjat paling tinggi ialah Brahma dan paling rendah bernama Paria. Bila-bila pun si Brahma akan memperkuda si Paria. Titah Brahma titah keramat. Darjat Paria wajib mengiakan segalanya. Benar atau palsu bukan soalnya. Begitu jugalah jadinya dengan UMNO. Titah pemimpin besar UMNO umpama wahyu kerana mereka telah berjaya mem'brahma'kan diri mereka. UMNO level cawangan telah di'paria'kan oleh brahma Presiden, brahma Timbalan, brahma Naib dan brahma MT. Pemimpin UMNO Bahagian pun kadang-kadang nak jadi brahma.

Banyaklah wahyu dan sabda Brahma UMNO yang tersemat kukuh difikiran dan jiwa UMNO Paria. Kerana wahyu dan sabda itulah maka PAS kekal ekstremis di mata paria. PKR hanya demi Anwar. DAP komunis. Pakatan Rakyat ganas. Pilih PAS mundur. Pilih PKR, hilanglah ketuanan bangsa. Undi Pakatan Rakyat, DAP yang jadi raja. Undi DAP masuk neraka. Undi DAP merempatlah bangsa.

Kesimpulannya, kalau kita serius nak membina Malaysia baru yang bebas daripada politik rasuah dan budaya C4 maka kita mesti mencari jalan untuk memecahkan tembok minda Melayu UMNO level paling bawah ini. Kita mesti suluh jalan dan bimbing tangan mereka. Kekudusan brahma UMNO dalam minda paria mesti dihancurkan dengan C4. Peduli apa? Nanti biar Sirul yang tanggung akibatnya!
4:21 AM | 0 comments | Baca sepenuhnya